Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 06 - 10 Disember, 2021

EUR/USD: Kadar Inflasi dan Tenaga Kerja Menentukan Segalanya

  • Pasaran kini dikuasai oleh dua faktor: kebimbangan terhadap strain COVID yang baru serta pengetatan polisi kewangan oleh bank-bank pusat. Masih belum diketahui lagi betapa bahayanya strain Omicron dan bagaimana ia akan memberi kesan terhadap ekonomi. Justeru, fokus utamanya beralih kepada bank-bank pusat, dan bank paling utama adalah, Rizab Persekutuan AS. Oleh yang demikian, 19 orang penganalisis Reuters memilih perbezaan kadar faedah akan menjadi pendorong utama di pasaran, manakala 15 orang lagi memilih Omicron.

    Ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell di depan Senat AS pada 30 November lalu telah memberi kesan besar kepada pasaran. Semuanya disebabkan oleh pendirian hawkish bersifat kasar dalam ucapan beliau yang dikesan oleh para penganalisis dan juga para pengulas. Akibatnya, kadar indeks saham, Dow Jones, S&P500, Nasdaq jatuh menjunam, manakala indeks DXY dolar naik mendadak.

    Nilai dolar naik semula 147 mata berbanding mata wang euro dalam masa kurang daripada sejam, menurunkan pasangan EUR/USD dari paras 1.1382 kepada 1.1235. Walau bagaimanapun, keadaan di pasaran kemudian kembali tenang dengan cepat, dan apabila data dari pasaran buruh mengikut jangkaan, kedudukan pasangan ini naik ke atas.

    Kadar inflasi dan tenaga kerja: kedua-dua indikator ini menjadi penentu kepada polisi semasa bank-bank pusat.

    Pihak ECB terus bertegas dengan hakikat peningkatan kadar inflasi hanyalah bersifat sementara, jadi tidak masuk akal untuk mengambil sebarang langkah bagi menanganinya. Walaupun ramai orang percaya bahawa ucapan Christine Lagarde, Gabenor bank berkenaan pada 2 Disember lalu ada berbau-bau akan berlakunya pengetatan polisi kewangan, namun, tiada langkah-langkah khusus yang dinyatakan. Walaupun begitu penyelesaian terhadap masalah itu mungkin sudah ada. Data harga pengeluar yang dikeluarkan pada minggu lalu dilihat agak membimbangkan: kadar kenaikannya memecut laju dari 16.1% kepada 21.9% (berbanding 18.3% yang diunjur). Nilai ini menunjukkan keadaan inflasi yang sudahpun mencecah 4.9% di Eurozone akan terus berlaku dan semakin meningkat. Untuk pasaran buruh di Eropah pula, perkembangannya dilihat lebih sederhana: kadar pengangguran hanya turun 0.1%, dari 7.4% kepada 7.3%.

    Statistik dari pasaran buruh AS adalah lebih baik. Pertambahan jumlah permohonan awal untuk manfaat pengangguran adalah sedikit rendah berbanding jangkaan: naik kepada 222 ribu dan bukan 245 ribu seperti yang dijangka, manakala kadar purata pergerakan selama empat minggu untuk indikator ini turun ke paras terendah pada Mac 2020 lalu. Dalam masa yang sama, jumlah mereka yang menerima manfaat buat kali pertama sejak bermulanya pandemik turun di bawah 2 juta, kepada 1.956 juta. 

    Namun bilangan pekerjaan yang ada bukan dalam sektor agrikultur (NFP) di AS hanyalah berjumlah 210 ribu, terlalu rendah berbanding jangkaan (550 ribu) dan jumlah sebelum ini (546 ribu). Walau bagaimanapun, penurunan ini dilihat tidak begitu dramatik jika dibandingkan dengan kekurangan tenaga kerja di negara tersebut. Cukup untuk mengatakan, disebabkan kekurangan tenaga kerja, bilangan mereka yang hilang pekerjaan di Amerika Syarikat turun ke paras  terendah dalam tempoh 28 tahun.

    Data NFP yang rendah dan di luar jangkaan itu mungkin tidak akan memberi kesan besar terhadap keputusan Rizab Persekutuan. Terdapat banyak sebab untuk percaya pihak Rizab Persekutuan mungkin akan mempercepatkan penamatan program rangsangan kewangan (QE) mereka dalam mesyuarat yang akan diadakan pada 14-15 Disember nanti. Presiden Rizab Persekutuan Cleveland iaitu Loretta Mester dan rakan sejawat beliau, Mary Daley dari San Francisco serta Rafael Bostic dari Atlanta menyokong hebat idea untuk mempercepatkan proses itu. Manakala Randal Quarles, bekas naib presiden Rizab Persekutuan menganggap insentif fiskal dan kewangan seperti itu berbahaya kepada ekonomi. Beliau berpendapat, ianya telah menambah begitu banyak permintaan sehinggakan melebihi paras sebelum berlakunya pandemik, dan kadar inflasi yang tinggi bukan lagi bersifat sementara, tetapi terus berlaku.

    Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell dan Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen juga percaya sudah tiba masanya untuk berhenti daripada menggunakan perkataan “sementara”. Ini bermakna kadar inflasi akan diunjur naik, dan tempoh untuk menaikkan kadar faedah akan menjadi lebih padat.

    Berkemungkinan besar, polisi kewangan yang berbeza antara pihak Rizab Persekutuan dan juga ECB akan terus memberi tekanan hebat kepada pasangan EUR/USD, menolak ke paras lebih rendah. 50% penganalisis bersetuju dengan jangkaan itu, manakala 35% lagi penganalisis berpendapat sebaliknya. Baki 15% pula memilih trend mendatar.

    Indikator trend pada D1 didominasi warna merah, sebanyak 65%. Namun terdapat pertelingkahan dan perbezaan pendapat dalam kalangan pengayun: 40% daripadanya menunjukkan penurunan, 35% pula menunjukkan pertumbuhan dan baki 25% lagi berpendirian neutral.

    Rintangan berada di zon dan paras 1.1380, 1.1435-1.1465 dan 1.1525. Sokongan paling hampir berada pada paras 1.1260, kemudian 1.1235, antara 1.1185-1.1200, kemudian 1.1075-1.1100.

    Untuk perkara yang bakal berlaku minggu hadapan, perlu ambil maklum data KDNK di Eurozone bagi Q3 akan dikeluarkan. Pertambahan kadar turun naik boleh dijangka akan berlaku pada hari Jumaat, 10 Disember apabila kadar CPI di AS dan Jerman, serta kadar Indeks Keyakinan Pengguna Universiy of Michigan diketahui. Indikator ini menjadi petunjuk bagi keyakinan pengguna di AS terhadap pertumbuhan ekonominya serta menilai kesanggupan mereka untuk berbelanja.

GBP/USD: Kembali Mengikuti Jejak Bear?

  • Pergerakan pasangan GBP/USD pada minggu lalu adalah hampir sama dengan EUR/USD. Ia memberi reaksi yang hampir sama terhadap ucapan Jerome Powell di hadapan Dewan Senat serta data pasaran buruh di AS, dan disebabkan itu ia mengakhiri lima hari dagangan pada paras 1.3225.

    Kebimbangan terhadap Brexit kekal menjadi faktor utama bagi tekanan yang dihadapi pound. Menteri Luar Ireland iaitu Simon Coveney pada 3 Disember berkata masih terdapat perbezaan ketara antara penggunaan Protokol Ireland Utara oleh pihak EU dan UK. Ahli politik berkenaan menambah lagi tiada sebarang hasil daripada rundingan yang dibuat, dan perbezaan ini berkemungkinan tidak akan berjaya diatasi sebelum berakhirnya tahun ini.

    Pasangan GBP/USD gagal untuk berada pada kedudukan di atas paras 1.3300. Menurut penganalisis United Overseas Bank (UOB) Singapura, nilai mata wang British itu mungkin akan terus menyusut dalam bulan Disember, walaupun ia masih menghadapi kesukaran untuk melepasi sokongan kukuh pada paras 1.3195 (paras terendah pada 30 November). Jika berjaya, pasangan ini akan membuka laluan pada paras sokongan 1.3135. Bagi bull pula, tugas No. 1 adalah untuk melepasi paras rintangan utama di zon 1.3300. Jika Bank of England tidak menaikkan kadar faedah mereka pada 16 Disember nanti, ianya tidak akan memberi sebarang masalah. Rintangan seterusnya berada pada paras 1.3360, 1.3410, 1.3475, 1.3515, 1.3570, 1.3610, 1.3735, 1.3835.

    30% penganalisis berharap pasangan ini akan mengalami pertumbuhan tidak lama lagi, 45% menjangkakan kadarnya akan terus menyusut, manakala baki 25% lagi berpendirian neutral. Namun indikator pada D1 sememangnya berpihak kepada bear. 100% indikator trend menunjukkan penurunan. Hal yang sama turut berlaku pada pengayun, tetapi 15% daripadanya sudahpun memberi isyarat pasangan ini memiliki lebihan jualan.

USD/JPY: Yen Tidak Akan Berundur

  • Kedudukan pasangan USD/JPY berada di luar julat dagangan mereka di antara 113.40-114.40 pada hujung November lalu, dan seperti yang dijangka kebanyakan penganalisis (55%), ia meneruskan penurunannya, mencecah paras terendah mingguan pada 112.52 dan memperbaharui paras terendah sepanjang tujuh minggu. Ia kemudian diikuti dengan perubahan arah trend, beberapa percubaan yang gagal untuk mengembalikan kedudukan pasangan ini di saluran 113.40-114.40 dan mengakhiri minggu pada paras 112.80.

    Yen mendapat sokongan sebagai mata wang selamat oleh para pelabur yang berasa bimbang tentang penyebaran strain coronavirus Omicron. Walau bagaimanapun, setelah berlalunya gelombang panik yang sudah bermula, kelebihan yang ada berbanding dolar mula hilang dengan perlahan-lahan.

    Ia juga harus diingat bahawa Jepun berada dalam kedudukan yang sukar kerana nisbah antara jumlah hutang dan KDNK di negara itu adalah terlalu tinggi. Menurut beberapa orang penganalisis, adalah perlu untuk mereka menerima pakai satu pakej rangsangan kewangan yang baru untuk menambah lagi tekanan kepada yen supaya kadar pemulihan ekonominya dapat ditingkatkan.

    Sehingga perkara itu berlaku, penganalisis di UOB percaya bahawa pasangan ini mungkin akan menguji semula paras sokongan pada 1.1250, tetapi peluang untuk ia menembusinya adalah tipis. Jika ia berjaya menembusinya, ia akan berhadapan dengan halangan seterusnya di sekitar paras antara 111.85-112.00. Menurut penganalisis di Credit Suisse, kedudukan pasangan ini perlu berada di atas zon antara 113.70-114.00 untuk memulakan senario bullish, dan kemudian melepasi rintangan pada paras 114.80. Ini adalah langkah permulaan yang baik untuk berada pada paras tertinggi sepanjang lima tahun iaitu 115.52 yang telah direkodkan pada 24 November lalu.

    Kebanyakan penganalisis (55%) buat masa ini berpihak dengan bull, manakala 25% pula menyokong bear dan baki 20% lagi menjangkakan pasangan ini bergerak secara mendatar. 90% pengayun masih menunjukkan penurunan, tetapi suku daripada itu berada di zon lebihan jualan, baki 10% lagi menunjukkan pertumbuhan. Nisbah dalam kalangan indikator trend adalah 35% berbanding 65% yang berwarna merah.

    Rintangan berada pada paras 113.40, 113.70, 114.00, 114.40, 114.70, 115.00 dan 115.50, sasaran jangka panjang bull adalah paras tertinggi yang dicapai pada Disember 2016 iaitu 118.65. Sokongan paling hampir berada pada paras 112.50, kemudian 112.00 dan 111.65 selepas itu.

    Untuk statistik makro ekonomi, data KDNK di Jepun bagi Q3 akan dikeluarkan pada hari Rabu, 8 Disember. Indikator ini dijangka akan beralih dari menyusut (negatif 0.8% pada Q2) kepada pertumbuhan sederhana 0.4%.

MATA WANG KRIPTO: Nilai Runtuh di Pasaran Kecil Dalam Satu Malam

  • Tiada perubahan drastik berlaku pada kripto di sepanjang minggu. Malah, nilai bitcoin dan ethereum, bersama-sama dengan kadar indeks saham serta selera risiko para pelabur bertambah pada permulaan minggu. Namun kelegaan itu hanyalah sementara. Pasaran mata wang kripto jatuh pada malam antara hari Jumaat dan Sabtu, turun kira-kira 20% nilainya. Pasangan BTC/USD kembali ke paras yang didudukinya sepuluh minggu lalu, turun ke paras $41,620, sementara ETH/USD susut kepada $3,510. Semua ini berlaku walaupun pada hakikatnya ethereum cuba untuk memperbaharui nilai tertingginya hanya tiga hari sebelum itu, naik pada ketinggian $4,771.

    Punca sebenar kepada apa yang berlaku masih belum jelas lagi ketika ulasan ini dibuat, tetapi ia seperti berpunca daripada spekulasi yang dibuat oleh seseorang pada pasaran yang kecil, apabila pelabur-pelabur besar sedang nyenyak tidur sebelum tibanya hari minggu. Pendapat ini dilihat benar kerana nilai mata wang kripto utama itu pada hakikatnya naik selama beberapa minit setelah jatuh. Nilai bitcoin naik 15%, melonjak kepada $48,000. Berkemungkinan mereka yang menjadi dalang kepada penurunan itu telah menambah semula bekalan mereka dengan cepat pada harga “diskaun”. Namun begitu, semua ini hanyalah tekaan.

    Presiden El Salvador berjaya merebut peluang ketika nilai mata wang kripto terunggul itu jatuh. Nayib Bukele mendapatkan lagi 150 BTC, menjadikan jumlah coin dalam walet beliau sebanyak 1,370 coin. Benar, dalam masa yang sama beliau mengadu beliau hanya tidur selama 7 minit semasa kejadian itu berlaku, jadi beliau perlu membayar kira-kira $48,000 untuk setiap coin.

    Semasa ulasan ini dibuat, pada petang 4 Disember, jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $2.2 trilion, manakala paras bacaan Indeks Fear & Greed Kripto telah beralih dari kedudukan tengah skala iaitu neutral dan kini berada di zon Extreme Fear, pada bacaan 25 mata (seperti 47 minggu yang lalu).

    Menurut Nigel Green, CEO syarikat perunding deVere Group, pelabur harus membeli mata wang kripto ini sekarang kerana nilainya akan berganda dalam tempoh setahun. “Keadaan panik adalah masa yang sesuai untuk membeli BTC,” jelas Green.

    Mark Yusko, CEO Morgan Creek Capital Management yang percaya para pelabur tidak harus tertipu dengan turun naik harian kadar bitcoin turut bersetuju dengan Green. Menurut ahli kewangan itu, bukanlah bitcoin menjadi lebih baik berbanding mata wang fiat. Mata wang fiat yang menjadi lebih teruk daripada bitcoin. “Berlakunya perlumbaan untuk berada di bawah pada skala global,” kata Martin Yusko. Justeru, BTC menjadi aset simpanan yang ideal ketika kebanyakan kerajaan berlumba-lumba untuk menurunkan nilai mata wang mereka.

    Pendapat yang hampir sama disuarakan oleh Anthony Scaramucci, pengasas SkyBridge Capital yang juga bekas pengarah komunikasi dalam barisan kepimpinan Donald Trump. “Jika anda percaya pada fundamental jangka panjang seperti kami, inilah masanya untuk membuat pembelian. Kemeruapan nilai bitcoin dan lain-lain mata wang kripto menghalang orang ramai daripada membelinya. Ia juga menyingkirkan beberapa kelebihan, dan pada pendapat saya, menghasilkan batu loncatan untuk kedudukan Q1 yang lebih baik,” jelas ahli kewangan itu, yang turut menambah bukan saja faktor fundamental menunjukkan pertumbuhan pesat nilai mata wang kripto, malah polisi kewangan pihak Rizab Persekutuan AS juga sama.

    Hanya masa akan menentukan sama ada sikap optimis mereka yang berpengaruh itu menjadi kenyataan ataupun tidak. Sebagai contoh, penganalisis kripto dan juga pedagang, Benjamin Cowen baru-baru ini memberikan hujahnya bahawa nilai bitcoin tidak akan berada di bawah paras $50,000. Namun ia tetap berlaku. Dalam masa yang sama, kami tidak boleh berdiam sahaja daripada menyatakan satu lagi petunjuk negatif kepada para pelabur: pedagang opsyen bertaruh nilai bitcoin akan turun selama enam bulan buat pertama kalinya sejak bulan Mei. Nisbah harga untuk kontrak mingguan, bulanan dan kontrak tiga bulan juga beralih kepada “bear” pada awal bulan ini.

    Petua hidup kripto yang biasa dan tidak begitu serius membuat kesimpulan untuk ulasan ini. Kami akan beritahu bagaimana caranya sesetengah orang cuba untuk mendapat untung daripada mata wang kripto. Namun dalam masa yang sama, kami berkeras supaya anda TIDAK mencontohinya.

    Pihak polis di bandar Tarragona Sepanyol menahan seorang lelaki dan seorang wanita berusia 33 tahun yang memasang secara rahsia mesin penghasil pada komputer… di beberapa buah kedai. Penjenayah tersebut memasang penghasil itu pada sekurang-kurangnya 16 buah peranti di kedai elektronik Mediamarkt serta di kedai serbaneka El Conte Ingles. Menurut sumber yang boleh dipercayai, wanita tersebut mengalih perhatian pekerja di situ dan bertanyakan cara untuk menghidupkan sebuah laptop, komputer yang didakwa dibeli wanita berkenaan di kedai tersebut. Sementara itu, rakannya memasang mesin penghasil Nicehash dan program Anydesk untuk mengakses dari jauh komputer-komputer contoh yang dipamerkan.

    Laptop baru namun berfungsi pada kapasiti penuh telah menimbulkan perasaan syak wasangka dalam kalangan jururunding. Kamera CCTV Mediamarkt telah merakam kehadiran si tertuduh sebanyak tiga kali ke kedai mereka, dan pihak polis berjaya membuat pengecaman dari video itu.

    Mungkin adalah lebih baik untuk kami memetik satu lagi hasil kaji selidik berkenaan aktiviti melombong mata wang kripto oleh penjenayah. Menurut penganalisis di Cybersecurity Action Team, 86% akaun di platform Google Cloud yang telah berjaya di godam digunakan untuk melombong, perisian yang diguna untuk aktiviti itu dimasukkan ke dalamnya secara purata 22 saat setelah godaman mereka berjaya.

    Dalam kebanyakan kes, punca kejayaan penggodam mendapatkan akses terhadap akaun-akaun tersebut adalah disebabkan kegagalan pengguna sendiri dalam melindunginya. Justeru, para pembaca sekalian, berwaspadalah selalu.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.